ISLAM adalah agama yang sangat indah. Ia menggalakkan umatnya berbuat baik kepada sesiapa saja, baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.Bagaimanakah cara berbuat baik terhadap orang yang telah meninggal dunia itu? Antara cara yang dianjurkan oleh Islam ialah menziarahi tanah perkuburan mereka.Dalam masyarakat kita, amalan menziarahi tanah perkuburan sudah lama diamalkan, lebih-lebih lagi ketika menjelang hari raya, sama ada Aidilfitri atau Aidiladha.
Amalan menziarahi perkuburan sebaiknya diteruskan. Dengan berbuat demikian akan menyedarkan kita bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Dengan ini akan membentuk jiwa kita agar tidak rakus dan tamak harta dunia.Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Ziarahilah perkuburan, kerana perbuatan demikian akan mengingatkan kamu kepada kematian.” (Hadis riwayat Muslim).
Di samping itu, ia akan mengingatkan mengenai asal usul kejadian kita. Daripada tanah kita diciptakan dan kepada tanahlah dikembalikan.Di negara kita, amalan menziarah tanah perkuburan dilakukan oleh semua lapisan masyarakat, sama ada lelaki atau perempuan; dewasa atau kanak-kanak. Dalam hal ini, perkara yang perlu diketahui adalah adab ziarah kubur yang seharusnya diikuti dan diamalkan.Antaranya, orang yang hendak menziarahi kubur itu disunatkan berwuduk terlebih dahulu, memakai pakaian yang bersih, sopan dan menutup aurat.
Apabila seseorang itu sampai ke tanah perkuburan, disunatkan memberi salam kepada ahli kubur terlebih dahulu. Diriwayatkan daripada Muhammad bin Qais bin Makhramah bin Mutalib bahawa Rasulullah ketika menziarahi tanah perkuburan, Baginda mengucapkan kata-kata yang maksudnya: “Mudah-mudahan Allah mencurahkan limpah kesejahteraan kepada kamu sekalian wahai penghuni-penghuni kubur daripada kalangan orang mukmin. Semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang telah mendahului kami dan orang yang kemudian. Sesungguhnya insyaallah kami akan menyusul kamu sekalian.” (Hadis riwayat Muslim). Amalan memberi salam ini sebaik-baiknya dilakukan dalam keadaan berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi itu.
Selain itu, disunatkan berdoa dengan cara berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan dan mohon kepada Allah semoga roh ahli kubur dilimpahi dengan rahmat, keselamatan, kesejahteraan dan sebagainya.Ketika menziarahi perkuburan, perlu meninggalkan segala larangan dan tegahan. Antaranya dilarang meratapi disebabkan oleh perasaan yang amat berduka cita di atas pemergian orang yang disayangi. Rasulullah menegah perbuatan meratapi di atas kematian kerana perbuatan itu akan menyebabkan mayat diseksa pada hari kiamat kelak. Diriwayatkan daripada Mughirah bin Syu'bah bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang meratapi mayat, maka mayat itu akan diseksa pada hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim).
Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Mayat berasa terseksa dalam kuburnya kerana diratapi" (Hadis riwayat Muslim).
Kita juga dilarang bercakap-cakap mengenai perkara yang tidak berfaedah dan keji. Makruh jika kita duduk di atas kubur yakni duduk bertepatan dengan kedudukan mayat dalam kubur. Tetapi tidaklah dilarang jika duduk di sekitar atau di sekeliling kubur. Larangan duduk di atas kubur adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Seseorang yang duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya hingga terkupas kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur.” (Hadis riwayat Muslim). Selain itu, dilarang memijak kubur dengan sengaja tanpa sesuatu keperluan atau hajat, tetapi tidaklah menjadi kesalahan jika tiada jalan lain dan terpaksa.Perlu diingat bahawa melakukan perkara khurafat yang boleh menjejaskan akidah seperti mencium kubur dan mengusap-usap tanah perkuburan adalah haram hukumnya.
Sebagai orang Islam, janganlah kita melakukan perkara khurafat yang boleh menjejaskan akidah. Sesungguhnya Islam menggalakkan umatnya supaya saling hormat-menghormati sesama manusia dan tidak terkecuali dengan orang yang telah meninggal dunia. Kerana itulah Islam menganjurkan umatnya supaya menghormati ahli kubur serta menjaga kehormatan persekitaran kubur. Oleh itu, sempena Aidilfitri nanti marilah sama-sama kita menziarahi pusara sanak saudara yang telah lama kembali kerahmatullah. AlFatihah...