Sabtu, 5 Disember 2009
Hukum Mempercayai Zodiak
Takrif Horoskop
Horoskop atau ramalan zodiak adalah carta atau diagram yang menunjukkan kedudukan relatif objek langit seperti matahari, bulan, dan planet. Perkataan horoskop berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud "melihat jam". Untuk memperoleh horoskop seseorang, tempat, hari dan tarikh lahir orang itu mesti diketahui. Tarikh itu pula akan jatuh pada salah satu daripada 12 lambang zodiak yang sedia ada iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius, dan Pisces. Menurut ilmu astrologi setiap zodiak itu mempunyai keperibadiannya yang tersendiri dan nasib setiap orang adalah berdasarkan kepada zodiak serta kedudukan matahari, bulan dan planet pada hari itu.
Hukum Membaca dan Mempercayai Horoskop/Zodiak
Horoskop dan Astrologi ialah ilmu yang digunakan bagi mencari maklumat serta ramalan terhadap perkara ghaib dari bintang-bintang serta bulan-bulan kelahiran seseorang manusia. Seringkali kita lihat horoskop seperti ini banyak dipaparkan di dalam majalah dan media massa terutamanya yang disasarkan kepada golongan remaja.
Ramalan Horoskop (Horoscope) DIPERCAYAI KONONNYA yang dapat menentukan ramalan personaliti seseorang, sifat peribadi dan ramalan nasib bulan-bulan dalam kehidupannya. Misalnya bagi mereka yang lahir di dalam bulan Oktober pada hari 24 sehingga 22 November merupakan mereka yang dilabelkan dengan bintang SCORPIO dan mempunyai personaliti serta peribadi ramalan tertentu.
Ramalan sebegini membawa kepada syirik dan hukum mempercayainya ialah haram dan berdosa. Telah diriwayatkan oleh Abdullah ibn Abbas ra Rasulullah s.a.w. telah bersabda :
Sesiapa yang mengambil sebahagian dari ilmu bintang (nujum) maka sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian dari ilmu sihir yang setiap kali bertambah ilmu bintangnya (berkaitan ramalan) maka bertambah pulalah ilmu sihirnya . (hadith sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasaie dan Ahmad).
SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.
Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.
Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.
Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.
"Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam," katanya.
Telah jelas hukum sihir bahawa ianya haram menurut kesepakatan ulama dan membawa kepada kufur serta terbatal iman. Maka di dalam masalah ilmu horoskop ini hendaklah para pemuda-pemudi Islam berhati-hati dan tidak mempercayai apa-apa dari ramalan bintang-bintang ini yang jauh dari kebenaran dan dipenuhi kedustaan dan penipuan sekalipun terdapat kepadanya beberapa berita yang mendekati kebenaran.
Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui . (Al-An am : 97).
Imam Bukhari ra telah meriwayatkan di dalam kitab sahihnya bahawa Qatadah, seorang ulama tabien yang terkenal telah berkata : Allah telah menciptakan bintang-bintang untuk tiga perkara iaitu perhiasan langit, pelempar syaitan dan sebagai tanda-tanda penunjuk arah maka barangsiapa yang mentafsirkan bintang-bintang selain dari tiga perkara ini maka ianya adalah salah dan sia-sia iaitu mensia-siakan nasibnya serta memaksa dirinya dengan sesuatu yang dia tidak mempunyai ilmu untuk mengetahuinya.
Mempelajari ilmu bintang seperti ilmu falaq, ilmu kaji bumi dan astrologi untuk tujuan kebaikan bagi mendapat maklumat yang berguna bagi keselamatan manusia dan faedah kepada manusia dari sudut ilmu pengetahuan yang membawa manfaat tidaklah salah. Tetapi mempelajari ilmu astrologi untuk tujuan horoskop dan meramal nasib maka hukumnya ialah haram dan berdosa.
p/s - Jadi kawan-kawan, jauhkan diri anda daripada mempercayai sebarang ramalan horoskop samada di TV, SMS, Majalah, Internet dan sebagainya. Sila sebarkan maklumat ini kepada keluarga atau sahabat handai yang lain yang mungkin tidak mengetahui akan hukum horoskop dan zodiak ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan